mutakhir

Bekas pegawai sumber manusia didakwa palsu dokumen

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Bekas ketua bahagian sumber manusia Puspakom Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan iaitu memalsukan dokumen bernilai RM52,500 pada 2016.

Tertuduh, Noor Marliza Ishak, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan utama dia didakwa memalsukan dokumen iaitu invois Kezens Gale bernilai RM52,500 dengan tujuan menipu di pejabat Puspakom, Wisma DRB Hicom di Seksyen U1 Shah Alam pada 24 Jun 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 465 akta sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ikat jamin terhadapnya dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk membayarnya.

Hakim kemudian menetapkan 27 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 3:37pm
d