mutakhir

LPNM terima 79 laporan pekebun terjejas akibat banjir

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menerima 79 laporan daripada pekebun yang penanaman nanasnya terjejas berikutan banjir yang melanda negara, baru-baru ini.

Pengerusinya Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ia meliputi 20 daerah di enam negeri membabitkan keluasan 62.55 hektar yang menyaksikan Pahang paling teruk terjejas.

Katanya, Pahang menunjukkan nilai kerugian berjumlah kira-kira RM2 juta diikuti Johor, RM760,000 dan lain-lain negeri adalah Terengganu, Kelantan, Perak serta Selangor dengan nilai keseluruhannya RM2.9 juta.

"LPNM sudah memohon RM2.9 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha membantu pemulihan penanaman nanas.

"Laporan pekebun terjejas banjir sudah dikemukakan kepada MAFI bertujuan untuk memohon bantuan yang akan ditentukan di bawah Tabung Bencana Pertanian.

"Bagi tabung bencana LPNM, peruntukan yang disediakan setakat ini adalah RM200,000 meliputi bantuan ganti rugi untuk input pertanian dan infrastruktur dengan kos RM2,500 per hektar dan maksimum empat hektar," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat LPNM, Wisma Nanas, di sini, hari ini.

Menurutnya, banjir yang berlaku bagaimanapun tidak menjejaskan permintaan semasa nanas termasuk eksport ke luar negara.

"Permintaan nanas sentiasa meningkat, erti kata tiada penimbunan stok nenas di Malaysia. Kita bukan hanya eksport buah segar, juga eksport industri perhilirannya selain permintaan tertinggi adalah dari China meliputi nanas MD2 dan Timur Tengah pula nanas M36.

"Bagi tahun ini, sebanyak RM15.35 juta diperuntukkan bagi pembangunan industri nanas negara merangkumi program pengembangan dan pembangunan tanaman," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 4:12pm
d