mutakhir

Bini orang rugi RM34,500 ditipu sindiket Love Scam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang wanita yang juga penjawat awam kerugian RM34,500 selepas diperdaya 'Tony Nguyen' yang dikenali melalui aplikasi 'Tagged' selepas berkenalan 9 Januari lalu.

Wanita berusia 34 tahun yang bekerja di Pendang, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Superintendan Elias Omar berkata, mangsa dan suspek sering berhubung melalui aplikasi 'Line' sepanjang perkenalan.

Beliau berkata, pada 15 Januari lalu, Tony Nguyen yang kononnya warga Vietnam mahu mengirim wang, kasut, pakaian selain minyak wangi kepada mangsa sebagai tanda perkenalan antara mereka.

"Pada 18 Januari lalu, mangsa memasukkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Pendang ke tiga akaun secara berperingkat mencecah RM34,500.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang selepas menyedari ditipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya pada kenyataan hari ini.

Elias turut menasihati masyarakat supaya jangan mudah terpedaya dengan pelbagai janji manis serta tawaran menarik diberi individu yang baru dikenali melalui laman sosial atau pelbagai aplikasi lain.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 4:43pm
d