mutakhir

50 gajah terkepung di Kahang

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Kira-kira 50 gajah liar dipercayai dari Taman Negara Endau-Rompin berkampung di sekitar kawasan Kahang sejak 11 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Salman Saaban berkata, hasil pemerhatian pihaknya mendapati kumpulan gajah berkenaan dipercayai terkepung akibat air di Sungai Sembrong dan Sungai Kahang masih tinggi.

Katanya, berikutan itu, sepasukan anggota Perhilitan ditugaskan untuk membuat pemantauan bagi mengelakkan gajah liar berkenaan menghampiri kawasan penempatan selain menyebabkan bahaya kepada penduduk.

"Jabatan ini memandangkan berat masalah yang dihadapi penduduk dan akan merangka tindakan sewajarnya bagi mengelakkan mereka terus berhadapan dengan kacau-ganggu oleh kumpulan gajah liar itu.

"Ini kerana siasatan mendapati setiap kali kemasukan kumpulan gajah terbabit, penduduk akan berhadapan dengan kerugian ribuan ringgit selepas tanaman mereka dirosakkan oleh haiwan itu," katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan kacau-ganggu gajah liar di Kampung Sri Lukut dan Kampung Temigol bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang R Vidyananthan, hari ini.

Sementara itu, penduduk di Kampung Sri Lukut Ahmad Tarmizi, 71, berkata, sejak 11 Januari lalu, sudah empat kali lapan hingga 10 gajah datang ke kawasan kebun getah, kelapa dan pisang berhampiran rumahnya.

Katanya, sebanyak 20 pokok getah, 18 pokok kelapa serta lebih 20 pokok pisang yang sudah mengeluarkan buah dirosakkan oleh kumpulan gajah berkenaan.

"Walaupun mengalami kerugian yang agak besar namun tiada apa yang boleh dilakukan kecuali menanam semula sebagai gantian kepada pokok yang sudah dirosakkan," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 5:01pm
d