mutakhir

Pahang wujud Pusat Penempatan Serbaguna

Oleh Roselan Ab Malek

Bera: Kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Penempatan Serbaguna (PPSG) secara kekal di beberapa daerah bukan sahaja bagi menempatkan mangsa banjir malah digunakan untuk aktiviti lain di luar musim banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bangunan PPSG akan dibina di daerah terkesan teruk iaitu di Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh.

"Ia pasti akan dibuat, bergantung kepada lokasi dan tempat difikirkan sesuai selepas kita dapatkan pandangan daripada semua pihak.

"Kita tak mahu seperti berlaku baru-baru ini apabila tak boleh nak masuk beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di Benta kerana PPS itu pun dinaiki air.

"PPSG ini boleh menampung mangsa banjir dengan pelbagai kemudahan disediakan, maknanya tandas lebih elok dan ada tempat makan. Bagaimanapun kos pembinaan masih belum diketahui," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau kerja pembersihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Guai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, setakat ini kerajaan negeri sudah membelanjakan RM12 juta untuk membantu 47,000 mangsa banjir daripada lebih 14,000 keluarga.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menambah pelbagai bantuan kepada mangsa banjir seperti menyediakan sejumlah peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada ketua isi rumah (KIR) yang perlu menyewa kediaman lain akibat kehilangan rumah sepenuhnya kerana banjir.

"Kita juga menimbang untuk memberikan sumbangan sekali bayar kepada KIR berdaftar dengan pusat kawalan operasi banjir (PKOB) di daerah masing-masing.

"Selain itu, pemberian rebat kepada KIR sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk Januari 2021. Manakala bagi rumah yang musnah sepenuhnya, rebat penuh kegunaan air diberikan kepada KIR bagi Januari dan Februari tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pengecualian sewa untuk Januari tahun ini diberikan kepada penyewa gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan banjir.

Menurutnya, pengecualian sewa gerai PBT adalah untuk satu tempoh sehingga dipulihkan sepenuhnya bagi gerai yang rosak teruk akibat banjir.

Sehubungan itu, beliau berkata, pejabat daerah dan tanah (PDT) dikehendaki mengemas kini maklumat terperinci mengenai mangsa banjir berkaitan jenis kerosakan rumah dialami bagi memudahkan penyaluran bantuan susulan oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan NGO selain sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"PDT juga akan menyelaraskan usaha mengesan rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik yang rosak akibat banjir," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 7:10pm
d