mutakhir

KKM tingkat keupayaan makmal RT PCR [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia akan meningkatkan keupayaan makmal RT PCR bagi membolehkan 100,000 ujian dijalankan dalam sehari.

Selain itu saringan menggunakan RTK Antigen juga akan ditambah bagi mengesan pesakit positif Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu termasuklah di Sabah dengan enam makmal dan di semenanjung keseluruhannya 68 makmal.

"Kita juga akan menambah makmal di hospital seperti Lahad Datu, Tawau dan sebagainya. Kita akan dapatkan makmal seperti ini di hospital yang lain.

"Perancangan KKM adalah untuk tambah kapasiti kepada 150,000, tapi sekarang ini kita melihat kerjasama antara swasta, awam, universiti, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi sama ada kita boleh meningkatkan keupayaan fasiliti yang ada kepada 100,000 dulu sebelum kita boleh menambah lagi makmal di hospital KKM.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya hanya menjalankan saringan kepada pelajar sekolah sekiranya ada kes positif atau terdedah kepada jangkitan.

Menurutnya, KKM tidak menjalankan saringan kepada semua warga negara atau pelajar yang kembali ke sekolah, sebaliknya tertumpu kepada kes positif serta kontak rapat.

"Kalau kita lihat pada makmal sekarang ini, kita sudah meningkatkan keupayaan makmal kita.

"Pada permulaan hanya 23 makmal menjalankan lebih kurang 1,000 ujian RT PCR, tapi hari ini kita sudah meningkatkan keupayaan makmal kita iaitu lebih daripada 68 makmal sekarang ini boleh menjalankan RT PCR kita dan jangkaan kita lebih daripada 70,000 ujian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata orang ramai disarankan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berada di majlis pengebumian atau pun kenduri bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

Menurutnya penjarakan fizikal satu meter, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan adalah SOP yang perlu diamalkan.

Katanya, pihaknya mencadangkan supaya ia dihadkan seramai 20 orang saja yang menghadiri majlis pengebumian dan sebagainya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 8:40pm
    d