mutakhir

Buah tangan untuk kelangsungan hidup

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Penyediaan bantuan dan inisiatif kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah dan persiaran, kereta sewa serta e-hailing disifatkan sebagai buah tangan bermakna kepada golongan itu untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam menghadapi cabaran sukar ketika ini.

Bantuan one-off bernilai RM500 diberikan kepada setiap golongan itu membabitkan peruntukan RM66 juta melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Harian Metro mendapatkan pandangan golongan berkenaan bagi pemberian bantuan dan iniasitif berkenaan.

   

Pemandu bas persiaran, Wan Shahril Nizan Hamdan, 42.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meminggirkan golongan seperti kami yang terjejas teruk sejak Mac tahun lalu hinggakan terpaksa buat kerja lain.

"Dengan wang ini, jimat belanja dapur keluarga saya memandangkan pendapatan kerja sampingan sebagai kelindan lori tidak menentu."


   

Pemandu bas sekolah, Zulkifli Solib, 50.

"Sepanjang 22 tahun dalam bidang ini, Covid-19 ini paling teruk menjejaskan pendapatan kami kerana tahun lalu hanya enam bulan saja kami sempat beroperasi mengambil dan menghantar budak sekolah.

"Bantuan ini satu permulaan yang baik tahun ini dan saya berharap dapat diteruskan sehingga sesi persekolahan dibuka memandangkan tiada kata putus lagi bila sekolah dibuka."

   

Pemandu e-hailing, Mohd Zamri Mahmed, 37.

"Bantuan RM500 itu amat membantu kami dalam meneruskan perjuangan dan bertahan dalam industri ini.

"Saya boleh gunakan wang ini untuk bayar bulanan kereta untuk sebulan."

   

Pemandu e-hailing, Irawan Imam Kartolo, 26.

"Waktu PKP ini, kami perlu akur pendapatan terjejas kerana ramai orang tidak keluar ke mana-mana.

"Namun saya bersyukur kerajaan beri juga bantuan untuk golongan kami meneruskan kelangsungan."

   

Pemandu teksi, Ahmad Khilmi Daud, 50.

"Pengecualian duti eksais dan cukai amat membantu kami dalam mengurangkan kos yang perlu ditanggung antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk bayar cukai, proses pindah milik, cat dan pemeriksaan teksi dan insuran.

"Namun, saya berharap tempohnya dapat dipanjangkan sehingga 10 tahun bagi membolehkan kami mengumpul modal mengeluarkan kereta baru dan melupuskan teksi lama menggunakan peruntukan disediakan kerajaan."

   

Pemandu teksi, Aslam Bahar Arifin, 51.

"Wang diberikan itu dapat saya gunakan untuk buat pusingan modal berniaga makanan ringan di depan rumah kerana saya tiada pendapatan langsung selepas tidak mendapat penumpang dari KLIA. Selain itu, pengecualian diumumkan itu juga memang amat meringankan beban dan membantu saya dengan pendapatan yang tidak menentu ini."

   

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor, R Thiaga

"Di Johor sahaja terdapat seramai 2,376 pengusaha bas sekolah berdaftar, kesemua pengusaha adalah pemandu.

"Kami bersyukur dengan bantuan Permai dan berharap pelaksanaan bantuan berjalan lancar tanpa pelbagai syarat serta percepatkan penerimaan bantuan tersebut."

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 12:09pm
d