mutakhir

Ahli perniagaan ditahan edar dadah diproses sendiri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan ditahan selepas didapati mengedar dadah yang diproses sendiri dalam serbuan di Pudu, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 35 tahun itu di lokasi berkenaan jam 1.45 petang.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah, wang tunai RM250 serta sebuah motosikal.

"Hasil tangkapan itu, kami membuat satu lagi serbuan di rumah suspek di Ampang, Selangor jam 1 pagi (semalam) yang membawa kepada penemuan tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja.

"Selain itu, kami turut merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ML), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW milik suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saiful Azly berkata, semua rampasan di rumah suspek berkenaan dianggarkan berjumlah RM60,760 membabitkan pokok ganja (RM4,500), ganja (RM3,000) serta cecair dadah (RM53,100).

"Hasil soal siasat terhadap suspek, dia mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu.

"Difahamkan suspek menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran ganja serta ketamin sebelum menjualnya pada harga RM300 satu botol," katanya.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 4:11pm
d