mutakhir

Buntu cari dana baiki rumah terbakar

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Saya buntu memikirkan nasib keluarga sekarang, kami tiada tempat tinggal dan pada masa sama perlu membaik pulih rumah yang musnah itu," kata Che Raima Che Ibrahim.

Che Raima, 57, mengalami kerugian lebih RM40,000 apabila rumah yang disewanya di Flat Sri Kolam, di sini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 2.30 petang, Rabu lalu.

Katanya, kebakaran berlaku kerana kecuaiannya sendiri dan hal itu menyebabkannya dia perlu membaik pulih rumah yang disewanya itu sendiri.

"Terlupa matikan air ketika memasak dan keluar rumah untuk menandatangani dokumen penting pada hari kejadian.

"Ketika itu saya sedang masak air gula di atas dapur menyebabkan berlaku percikan api daripada periuk yang terlampau panas seterusnya berlaku kebakaran itu.

"Boleh dikatakan keseluruhan rumah hangus terbakar dan gagal menyelamatkan barangan berharga di dalam rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Tambahnya, dia perlu membaik pulih rumah itu dengan kadar segera kerana tidak mempunyai tempat tinggal yang lain.

"Suami, Azman Hamzah, 55, baru sahaja berhenti kerja sebagai pemandu kerana mengalami masalah kesihatan iaitu kencing manis.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa dan ditimpa pula ujian ini menyebabkan kami terhimpit dan terpaksa merayu sumbangan orang ramai.

"Kami perlu memperuntukkan wang kira-kira RM20,000 bagi membaiki rumah sewa itu kerana ia di bawah tanggungjawab saya akibat kecuaian," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menumpang di rumah anak-anaknya sehingga rumahnya itu dibaiki.

"Anak-anak sudah mempunyai keluarga sendiri oleh itu saya dan suami enggan menyusahkan mereka.

"Saya berharap sangat ada pihak yang tampil membantu," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 13017028494730 atau menghubungi Che Raima di talian 0112426800.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 4:53pm
d