mutakhir

2 usahawan pelancongan kini 'tauke' nasi arab

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Enggan terus meratapi kesan pandemik Covid-19, dua sahabat nekad memberanikan diri beralih kerjaya dari industri pelancongan kepada peniaga gerai makanan di tepi jalan.

Pemilik sebuah agensi pelancongan, Khairul Nizam Amat Zaini, 40, bersama rakannya, Tengku Adlan Tengku Zainal Rasid, 47, merebut peluang menjana pendapatan dengan membuka gerai 3 Budak Travel Arabic Kitchen berhampiran Stadium Bola Sepak, Bandar Tun Razak.

Khairul Nizam berkata, mereka tiada pilihan kerana perlu membayar komitmen dan menyara keluarga selepas operasi syarikat lumpuh dan tidak dapat menjana pendapatan akibat Covid-19.

"Sebelum buka gerai ini, macam-macam kerja saya cuba antaranya jual ikan, kurma, lemang selain mengambil upah menghantar barangan pindah kerana saya kehilangan pendapatan minimum RM5,000.

"Idea membuka gerai ini muncul selepas Kementerian Wilayah Persekutuan menawarkan Lesen Sementara Prihatin KL pada November lalu.

"Alhamdulillah, selepas permohonan lesen diluluskan, kami mula berniaga sampai hari ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka mengupah cef yang hilang pekerjaan akibat penutupan restoran bagi memasak menu nasi arab bagi mengekalkan keaslian rasa masakan Timur Tengah.

"Saya mengenali cef ini kerana sering membawa pelancong Timur Tengah ke restoran makanan Timur Tengah di Bukit Bintang namun disebabkan Covid-19 restoran tempat dia bekerja ditutup.

"Jadi, saya mengambilnya bekerja dengan kami bagi memastikan ketulenan rasa masakan dari air tangan orang Timur Tengah sendiri.

"Namun briyani kami masak sendiri menggunakan kemahiran memasak rakan saya, Tengku Adlan," katanya.

Katanya, formula mereka itu menjadi apabila menu nasi arab dijual di gerai mereka itu laris dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Setiap hari kami mampu meraih pendapatan lebih RM400 dengan anggaran 40 hingga 45 pek menu nasi arab dan briyani.

"Selain mengekalkan keaslian cita rasa orang Timur Tengah, kami turut menawarkan harga mampu milik dan berpatutan dengan satu pek boleh dimakan dua orang," katanya.

Khairul Nizam berkata, melihat kepada potensi perniagaan sedia ada, mereka merancang untuk membuka restoran suatu hari nanti.

"Saya melihat industri pelancongan tidak akan berkembang dalam tempoh dua tahun, justeru kami memikirkan alternatif untuk meneruskan perniagaan nasi arab dan briyani ini.

"InsyaAllah bila keadaan kembali normal, saya akan meneruskan operasi agensi pelancongan cuma buat masa ini saya mohon pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memberi kelonggaran untuk tidak mengenakan sebarang caj bagi pembaharuan lesen tahunan.

"Ini kerana dalam keadaan kami yang terjejas ini memang agak terbeban untuk kami mengeluarkan kos sekitar RM1,500 untuk memperharui lesen, yuran persatuan dan kursus pemantapan ilmu pelancongan yang wajib dihadiri setiap tahun," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 6:01pm
d