mutakhir

Kantoi 'wheelie,' berdiri sebelah kaki atas motosikal

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan empat remaja lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Kawasan Perindustrian Jalan Tech Valley 2/2, Sendayan, Negeri Sembilan semalam.

Operasi bermula 4 petang hingga 3 pagi membabitkan seorang pegawai dan 21 anggota Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dibantu dua pegawai dan dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Seremban.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pada 6.15 petang, pasukan membuat pemantuan di kawasan terbabit melihat tiga orang menunggang motosikal dan bersaing sesama sendiri sambil menundukkan badan dan aksi zig-zag bermula dari simpang tiga Jalan Tech Valley 2/2, Sendayan sehingga di penghujung jalan Tech Valley 7/2, Sendayan.

Menurutnya, sebaik mereka berhenti di sekitar kawasan perumahan, polis memperkenalkan diri sebelum menahan tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 16 tahun.

"Manakala seorang lagi lelaki berusia 17 tahun ditahan selepas menunggang sambil melakukan aksi berdiri sebelah kaki di atas motosikal sambil mengangkat tayar hadapan (wheelie) bermula di hadapan Kilang Tong Heng sehingga ke penghujung jalan Tech Valley 7/2, Sendayan.

"Suspek kemudian ditahan pada 7.30 malam ketika berhenti di hadapan sebuah rumah di Taman Gadong Indah, Labu, Negeri sembilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata, polis yang sedang membuat pemantauan di kawasan terbabit pada 6.30 petang melihat sebuah motosikal ditunggang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik suspek memberhentikan motosikalnya di tepi Jalan Tech Valley 7/2 Sendayan, polis terus memeriksa sebelum mendapati dia tidak memiliki lesen memandu.

"Dia bersama motosikal kemudian dibawa ke BSPTD Seremban untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas empat remaja lelaki manakala lelaki tidak memiliki lesen disiasat mengikut Seksyen 60 akta sama.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 11:23am
d