mutakhir

Lega rumah bakal diduduki selepas 8 tahun terbengkalai [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Selepas lapan tahun terbengkalai, 160 pembeli rumah di Taman Seri Molek Perdana di sini, menarik nafas lega apabila kediaman mereka siap dan boleh diduduki tidak lama lagi.

Pembeli blok F projek perumahan bakal menerima kunci selepas mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 15 Disember tahun lalu, manakala 774 lagi pembeli di blok A, B, C, D dan E sedang menunggu kelulusan CCC.

Pembeli, Gan Kwee Geok, 51, berkata gembira selepas menanti lapan tahun untuk menduduki kediaman pertamanya yang dibeli pada akhir tahun 2012.

Katanya, sepanjang tempoh terbengkalai, beliau yang juga ibu tunggal terpaksa berpindah randah dengan menyewa rumah sebanyak tujuh kali di sekitar bandar raya ini.

"Saya juga perlu membayar kadar bunga pinjaman bank RM250 sebulan sepanjang lapan tahun rumah terbengkalai.

"Kini saya dan anak-anak menunggu masa untuk masuk ke rumah baharu selepas sekian lama menunggu," katanya.

Bagi peniaga, Wilson Wong, 35 berkata dia terpaksa pulang ke kampung di Pulau Pinang selepas berhenti kerja di Singapura akibat pandemik Covid-19.

Katanya, dia tidak mampu membayar sewa selepas berhenti kerja dan menanti terlalu lama untuk mendiami rumah yang dibelinya.

"Apabila sudah dapat kunci rumah, saya mungkin kembali semula ke Johor," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, blok yang belum siap kini dalam 94 peratus untuk disiapkan sebelum memperoleh CCC.

"Saya banyak menerima aduan mengenai masalah kelewatan siap projek perumahan ini. Blok F sudah mempunyai CCC dan boleh diserahkan kunci.

"Saya dimaklumkan penyerahan kunci akan dilakukan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Kesemua blok yang belum siap dijangka dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan lagi," katanya

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 1:47pm
d