mutakhir

Derma darah 50 kali sejak usia 20 tahun

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pengalaman tugas di lapangan sebagai pasukan penyelamat memberi kesedaran kepada Noor Hisham Kamal, 44, tentang kepentingan menderma darah.

Menurut pegawai bomba dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu, dia mula sedar kepentingan menderma darah ketika berusia 20 tahun dan hingga kini, sudah 50 kali menderma darah.

"Kesedaran itu timbul sendiri dengan niat mahu membantu orang lain selepas menyedari permintaan bekalan darah kita sentiasa tinggi.

"Melalui pengalaman kerja saya, panggilan kecemasan diterima bomba setiap tahun semakin meningkat, jadi daripada situ kita tahu bekalan darah memang amat diperlukan.

"Jadi, apabila tahu ada saja program derma darah di mana-mana saya tidak akan menolak dan menderma sekurang-kurangnya tiga bulan sekali," katanya ditemui pada Program Amal Derma Darah Bersama Azhan Rani anjuran Summit Attack Resources dan Pusat Darah Negara (PDN) di sini, hari ini.

Katanya, selain membantu menyelamatkan nyawa orang lain, banyak kelebihan kepada penderma darah sendiri.

Antaranya daripada aspek kesihatan, ia dapat mengawal kalori badan, mengelak risiko barah dan masalah jantung.

"Insya-Allah, selagi sihat dan terdaya, saya akan teruskan menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Summit Attack Resources Fakhrul Munir berkata, program amal itu dianjurkan bagi mengisi masa lapang kumpulan pendaki dan penggiat rekreasi yang tidak dapat menjalankan aktiviti pendakian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum ini, ketika kumpulan kami membuat pendakian dalam dan luar negara, kami juga aktif mengadakan program amal seperti memberi bantuan pakaian, peralatan persekolahan dan sebagainya.

"Kami bersetuju mengadakan program derma darah ini selepas diilhamkan rakan kami, Azhan Rani.

"Alhamdulillah, walaupun baru pertama kami bekerjasama dengan PDN dan masih dalam tempoh PKP, sambutan amat menggalakkan dan melebihi sasaran awal apabila lebih 30 peserta terdiri daripada rakan pendaki dan penggiat rekreasi, selebriti serta media menyertai program amal ini," katanya.

Menurutnya, melihat kepada sambutan menggalakkan itu, pihaknya berhasrat memperluaskan lagi program sama di luar Lembah Klang bagi membantu PDN menampung keperluan bekalan darah negara.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 4:36pm
d