mutakhir

Jual arnab untuk tampung pusat tahfiz

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Ternak dan jual arnab daging bagi menampung kos pengurusan anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan miskin.

Itu usaha gigih dilakukan pengurusan Pusat Tahfiz Rabiath Tahfiz Darul Musthofa, Telok Mas di sini, susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sejak Mac tahun lalu.

Pengasas pusat berkenaan Haslam Abdul Salam Al-Hafiz berkata, pihaknya sebelum ini terbabit dengan aktiviti jemputan untuk program selawat, marhaban dan berzanji selain dia turut dijemput menyampaikan ceramah agama.

Menurutnya, aktiviti dilakukan sebelum PKP itu mampu menjana pendapatan bagi menampung 30 pelajar di pusat tahfiz ini.

"Namun selepas Covid-19 melanda, kami memulakan aktiviti ternakan arnab bagi membolehkan ia dijual kepada orang awam, peniaga restoran serta individu.

"Setakat ini kami gembira kerana sambutannya di luar jangkaan. Kemungkinan ini juga cara mereka membantu pusat tahfiz ini untuk terus beroperasi," katanya tadi.

Beliau berkata, dalam tempoh PKP. pelajar tahfiz berkenaan masih menumpukan pembelajaran dan hafazan selain membantu mengusahakan ternakan arnab yang dikenali sebagai Darul Musthofa Rebittry.

Baginya, pusat ternakan itu kini memiliki putaran 50 ekor arnab daging untuk dijual pada harga kira-kira RM30 sekilo.

"Selain itu arnab hiasan juga dijual dan mendapat sambutan ramai pihak yang membelinya," katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 5:04pm
d