mutakhir

Sikap tidak peduli punca Covid-19 meningkat di Sarawak

Oleh Norsyazwani Nasri

Kuching: Sikap segelintir individu yang tidak ambil peduli menjadi punca kegagalan usaha membendung wabak Covid-19 di Sarawak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengawal penyebaran Covid-19 hanya akan menyukarkan usaha melandaikan lekuk kes jangkitan di negeri ini.

Katanya, majoriti daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala ringan yang mudah sahaja diabaikan.

"Apatah lagi jika mereka bergejala tidak mengendahkan nasihat kesihatan supaya tidak berada berdekatan individu terutamanya kumpulan berisiko tinggi seperti anak-anak dan warga usia emas.

"Malah, kes-kes terkini yang menunjukkan punca jangkitan Covid-19 merebak kebanyakannya disebabkan oleh golongan yang bekerja dalam komuniti.

"Masih terdapat kes-kes berpunca daripada rakan sekerja yang menjangkiti rakan lain sama ada di tempat kerja atau melalui perjumpaan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa individu yang mempunyai tanda gejala seperti sakit tekak, hilang deria rasa dan bau serta tidak mendapatkan rawatan supaya jangan bersikap mementingkan diri sendiri.

"Ambillah sikap peduli terhadap kesejahteraan orang lain terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan. Sekiranya anda berasa kurang sihat, tidak kiralah seberapa ringan gejala yang dialami, elakkan diri anda menjadi punca jangkitan Covid19.

"Antara tindakan yang boleh diambil ialah amalkan penjarakan fizikal pada setiap masa dengan orang lain di sekeliling, jangan keluar, sebaliknya, duduk di rumah serta asingkan diri di dalam bilik berasingan," katanya.

Katanya, individu bergejala perlu segera berjumpa doktor dan mengikuti semua nasihat kesihatan.

"Jangan pergi ke tempat kerja atau menghadiri sebarang perjumpaan bersemuka di tempat awam terutama semasa musim perayaan sekiranya berisiko," katanya.

Beliau berkata, hanya dengan kerjasama semua akan dapat mengawal wabak pandemik Covid-19 di Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 5:21pm
    d