mutakhir

Tolong tumpu kerja sebagai Menteri Sumber Manusia

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan diminta memberi fokus kepada kerja hakikinya sebagai Menteri Sumber Manusia daripada membuang masa memainkan isu cuti peristiwa Thaipusam di Kedah atas kepentingan politik.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selaku menteri, beliau boleh meminta Kerajaan Persekutuan mengumumkan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum seluruh negara tanpa perlu membuat 'bising'.

"Isu cuti peristiwa untuk Thaipusam itu mudah saja. Dia boleh minta Kerajaan Persekutuan umumkan sebagai cuti umum seluruh negara, selesailah sekelip mata tanpa bising-bising.

"Bolehlah masyarakat India di negeri yang belum bercuti sempena Thaipusam menumpang rahmat kebijaksanaannya.

"Bukankah dia masuk mesyuarat Kabinet tiap-tiap minggu? Itulah medan sebenar dia kalau dia betul-betul mahukan cuti itu dilaksanakan. Hero di alam nyata tidak sama dengan watak hero lakonan," katanya dalam kenyataan di media sosial di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Saravanan tidak mungkin mempunyai masa untuk menyelongkar bidang kuasa pemimpin lain sekiranya beliau memberi fokus dengan tugas dalam kementeriannya.

Katanya, terdapat beratus ribu pekerja asing yang belum melakukan saringan Covid-19 di negara ini selain ratusan ribu pekerja tempatan yang terjejas memerlukan perhatian Kementerian Sumber Manusia.

"Ada isu besar mengani pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek penginapan, pergerakan dari sektor ke sektor, dari tapak bina ke tapak bina, dari kilang ke kilang, dari ladang ke ladang dalam kalangan pekerja asing yang menjadi salah satu punca penyebaran Covid-19.

"Bagaimana penguatkuasaan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2019) dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk mengawal selia majikan dan pekerja asing yang melebihi sejuta orang dalam pelbagai sektor di negara kita.

"Itu semua tugas hakiki Kementerian Sumber Manusia yang masih jauh tertinggal di belakang," katanya.

Semalam, Saravanan melabel Sanusi sebagai menteri besar 'cetek akal' apabila mempersoal tindakannya menggunakan kepala surat Kementerian Sumber Manusia untuk mengulas isu cuti Thaipusam di Kedah.

Terdahulu, Sanusi menegur Saravanan kerana menggunakan kepala surat kementerian itu untuk tujuan politik apabila menyerang tindakan kerajaan Kedah membatalkan cuti peristiwa Thaipusam.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 5:48pm
d