mutakhir

Lelaki lari dari serbuan polis ditemukan lemas

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Lelaki berusia 32 tahun yang terjun ke Sungai Sembrong Kecil, dekat sini, ketika melarikan diri dari serbuan polis petang semalam ditemukan lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan terjun jam 4.45 petang ini.

Katanya, sebelum itu, seramai 14 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tujuh anggota polis terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat yang disambung bermula jam 9 pagi tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat digerakkan sekitar 200 meter hingga satu kilometer dari kawasan lelaki berkenaan dilaporkan terjun.

"Sebaik operasi bersambung pada tengah hari, pasukan mencari dan menyelamat melakukan selaman dan menemukan mayat lelaki itu tersangkut pada akar kayu kira-kira 150 meter dari tempatnya dilaporkan terjun.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mayat dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 6:38pm
d