mutakhir

Kutip 500 tan sampah akibat banjir [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Chukai: Sebanyak 500 tan sampah di dikumpulkan mangsa banjir berjaya dibersihkan dalam tempoh 11 hari selepas bencana itu berakhir Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata sampah itu dikumpulkan mangsa banjir di lokasi ditetapkan sebelum kerja pembersihan dan pemunggahan dilakukan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Menurutnya, kaedah mengasingkan sampah terdiri daripada perabut, sofa, tilam dan pelbagai barangan elektrik serta pakaian yang musnah disebabkan ditenggelami banjir dengan sisa makanan dilakukan bagi mengelak bau busuk.

"Sampah daripada sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah di kawasan taman perumahan termasuk di lokasi terjejas banjir dipunggah setiap hari oleh MPK.

"Sampah daripada perkakas rumah yang musnah disebabkan ditenggelami banjir akan dikumpulkan di lokasi pengumpulan ditetapkan di setiap kawasan terjejas dan akan dipunggah selepas kerja pengambilan sisa buangan dilakukan," katanya.

Hanafiah berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan kerja pembersihan sampah di kawasan perumahan Bukit Mentok, di sini, hari ini.

Dia yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai mengesahkan kerja pembersihan dan pembuangan sampah di semua kawasan terjejas banjir dilakukan secara berperingkat selesai sepenuhnya dalam tempoh 13 hari selepas bencana banjir pulih sepenuhnya Isnin lalu.

Katanya, kerja pemunggahan sampah daripada lokasi pengumpulan ke tapak pelupusan sampah di Kampung Bukit Takal, Mak Chili dan di Kampung Gelugur, Kertih, dilakukan secara berperingkat.

"Kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Dungun dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Pejabat daerah yang membekalkan lori serta jentera untuk kerja pemunggahan.

"Alhamdulillah, kerja pembersihan sampah sarap yang musnah ditenggelami banjir di semua kawasan terjejas siap dilakukan dalam tempoh 11 hari dan berakhir hari ini," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 10:32am
d