mutakhir

Kantoi seludup 100 guni benih kerang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Cubaan seorang lelaki membawa keluar 100 guni berisi benih kerang bernilai RM50,000 dari negeri ini gagal apabila lori yang dipandu ditahan pasukan anggota Cawangan Perlindungan Sumber Pelabuhan Klang, Jabatan Perikanan Selangor di Simpang Tiga, Sungai Lang, di sini, semalam.

Lelaki berusia 30-an itu dipercayai membawa keluar benih kerang dari perairan daerah ini untuk dibesarkan di Perak.

Difahamkan, satu guni benih kerang yang sudah mencapai saiz lebih dari 4 millimeter (mm) itu berharga RM500.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, hasil pemantauan dan risikan anggotanya, terdapat lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota menahan lori itu pada 12.20 tengah hari dan hasil pemeriksaan menemui 100 guni benih kerang di bahagian belakang kenderaan berat itu.

"Kita percaya benih kerang ini dibawa tanpa sebarang dokumen yang sah dari Jabatan Perikanan Malaysia selain disyaki untuk dibawa keluar dari negeri ini.

"Benih kerang, lori dan pemandu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan berjumlah RM150,000.

Sehubungan itu, Abdul Rahman memberi amaran kepada orang ramai terutamanya nelayan tidak terbabit dalam kegiatan mencuri benih kerang.

"Orang ramai atau nelayan yang mempunyai maklumat sahih berhubung kegiatan mencuri anak dan benih kerang diminta melaporkan kepada Pejabat Perikanan daerah.

"Kita akan terus memantau rapi kegiatan haram ini dan bersedia menahan sesiapa sahaja yang terbabit," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 12:04pm
d