mutakhir

Proklamasi darurat selari dengan tuntutan Maqasid Syariah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Proklamasi darurat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bukan berasaskan kepentingan politik sebaliknya ia adalah untuk kemaslahatan rakyat selari dengan tuntutan Maqasid Syariah dalam Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, walaupun ia dilihat mengekang kerakusan pemimpin politik yang mengejar kuasa tapi sasaran utama adalah menjaga nyawa rakyat itu sendiri.

Beliau berkata, dalam konteks kerajaan berperlembagaan dalam negara dan demokrasi berparlimen ini boleh berlaku apa sahaja termasuk diadakan pilihan raya dalam keadaan wabak makin mengganas.

"Yang paling penting agama mengajar kita supaya menjaga nyawa dan ia sangat utama dalam agama, diletak dalam 'Maqasid Syara'.

"Jiran kita iaitu Thailand semalam hanya mencatatkan lebih 100 kes positif (Covid-19) sahaja dan itu pun dikira besar bagi mereka sedangkan negara kita 3,000 hingga 4,000 setiap hari.

"Bayangkan kalau kita buka laluan ini untuk diadakan sebarang perubahan atau pilihan raya, barangkali ia lebih dahsyat berlaku dan kerajaan boleh tumbang," katanya kepada media di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, dari sudut agama (Islam) sekalipun dibenarkan untuk menolak mudarat yang berasaskan bukan kepentingan politik.

Menurutnya lagi, jika proklamasi darurat itu dijalankan berasaskan politik, sudah pasti kerajaan mengambil alih pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang namun ia tidak berlaku sedemikian.

"Kalau kerana politik, negeri yang dikuasai pembangkang, kerajaan boleh ambil alih pentadbiran contohnya Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tapi dua negeri itu masih dikuasai DAP dan Pakatan Harapan (PH).

"Ia tidak berlaku sebagaimana pernah terjadi di Kelantan suatu ketika dulu (Akta Darurat Kelantan 1977), bila diisytiharkan darurat, kerajaan pusat ambil alih pentadbiran negeri.

"Ia tidak berlaku di zaman ini kerana itu bukti sebenarnya (proklamasi) darurat yang kita umumkan adalah lebih kepada kemaslahatan rakyat serta keselamatan dan rakyat wajib patuh kepada pemerintah," katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kepada 250 asnaf sempena Program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2.0 di Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini.

Ahmad Marzuk berkata, sumbangan yang menerima peruntukan berjumlah RM25,000 itu diagihkan kepada asnaf membabitkan dua daerah iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh termasuk mereka yang terjejas disebabkan Covid-19.

"Di bawah YaPIEM, kita sudah membelanjakan hampir RM juta sejak tahun lalu hingga sekarang dan ia akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 1:02pm
d