mutakhir

Bangkai ikan yu paus 1.5 tan ditemui [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Bangkai ikan yu paus jantan seberat 1.5 tan dengan sirip pektoral kanannya dipercayai sudah dipotong ditemui di kawasan paya bakau di Sungai Dinding, Sitiawan, di sini, semalam.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, bangkai mamalia atau nama saintifiknya rhincodon typus sepanjang 5.7 meter itu ditarik ke Jeti CPS Kampung Acheh untuk proses bedah siasat, hari ini.

"Ikan itu dipercayai sudah mati sejak empat hari lalu dan usaha mencari bangkainya mengambil masa dua hari kerana terperangkap di kawasan paya bakau selepas dimaklumkan nelayan menemuinya terapung di perairan Pulau Pangkor, Jumaat lalu.

"Bangkai itu ditemui dengan sirip kanannya sudah tiada, dipercayai dipotong. Selain itu kami turut menemui sampah seperti plastik dan ranting kayu dalam perutnya di mana ia boleh menjadi antara punca kematiannya.

"Bagaimanapun punca sebenar kematian ikan itu masih dalam siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di Pejabat Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, di sini.

Beliau berkata, ikan berkenaan biasanya dijumpai di perairan Pulau Sembilan, Bagan Datuk dengan populasi antara seekor hingga tiga ekor sahaja.

Katanya, ketika ini musim ikan bilis dan udang baring yang menjadi antara makanan mamalia itu yang dikategorikan sebagai spesis marin terancam seperti disenaraikan dalam Akta Perikanan 1985.

"Kita khuatir sirip ikan itu hilang disebabkan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab kerana ia mempunyai nilai pasaran yang tinggi sebagai makanan eksotik," katanya.

Katanya, pihaknya berharap komuniti maritim dan orang awam yang menemui ikan itu sama ada masih hidup atau sudah mati supaya melaporkannya untuk tindakan.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 2:39pm
d