mutakhir

Langgar SOP demi upah RM500 bawa daun ketum ke Kelantan

Oleh BERNAMA

Sik: Demi upah sebanyak RM500, penganggur sanggup melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan menyalahgunakan surat kebenaran rentas daerah untuk membawa 100 bungkusan daun ketum dari Naka di Kuala Nerang, Kedah ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan sewaktu melalui sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jalan Jeniang-Sik dekat sini, pada 3.30 pagi tadi.

"Daun ketum dianggarkan seberat 1,000 kilogram bernilai kira-kira RM10,000 itu, dibawa menggunakan sebuah lori tiga tan, dibungkus dalam plastik hitam dan dihadang dengan bakul-bakul kosong.

"Suspek mempunyai kebenaran merentas negeri yang dipercayai dipohon untuk mengambil bekalan makanan untuk haiwan ternakan di Pulau Pinang, namun telah disalahgunakan," katanya kepada Bernama, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek memberi alasan desakan hidup menyebabkan dia bertindak sedemikian dan separuh daripada upah RM500 sudah dibayar sebelum bertolak, manakala separuh lagi apabila tiba di Kelantan.

"Harga pasaran semasa bagi ketum ialah RM10 sekilogram dan dijual di sana (Kelantan) sekitar RM40 hingga RM50 sekilogram. Suspek dipercayai sudah tiga kali datang ke Kedah dan dipercayai terlibat dengan pengedaran ketum sejak setahun lalu.

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek juga mempunyai empat kesalahan berkaitan dadah, dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia direman empat hari sehingga 27 Januari ini, bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, saman juga dikeluarkan terhadap suspek kerana melanggar SOP PKP di bawah Peraturan 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 3:42pm
d