mutakhir

Lima beradik kongsi satu telefon pintar

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Berkongsi telefon pintar kerana anak-anak perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membuatkan Hasyani Jusoh, 44, tiada pilihan disebabkan keluarganya hanya memiliki satu telefon pintar sahaja.

Hasyani berkata, akibat kesempitan hidup, dia tidak mampu untuk membeli telefon pintar untuk lima anaknya berusia antara enam hingga 15 tahun berkenaan.

"Kesemua anak-anak terutama anak bongsu, Siti Nurul Batrisyia Sidek, 6, teruja untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun ini, namun kesukaran belajar secara dalam talian membimbangkan saya.

"Biarpun terpaksa berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan satu telefon pintar, namun saya akan memastikan mereka dapat menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru masing-masing.

"Pada setiap hari, bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, saya akan memantau anak-anak menyiapkan kerja sekolah menggunakan telefon pintar kerana tidak mahu mereka berebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Kulim, Melor, di sini, hari ini.

Katanya, akibat terlalu kerap menggunakan telefon pintar selain mempunyai banyak dokumen berkaitan dengan kerja sekolah, dia sudah dua kali menghantar telefonnya ke kedai untuk dibaiki disebabkan rosak.

"Anak sulung saya sahaja sudah mempunyai tujuh kumpulan WhatsApp bagi setiap mata pelajaran dan itu tidak lagi termasuk anak-anak yang lain.

"Pada masa sama, bagi memastikan pembelajaran anak-anak berjalan lancar, setiap minggu saya perlu membelanjakan RM30 seminggu bagi data internet," katanya.

Katanya, dia yang juga menderita penyakit kanser usus tahap dua kini bergantung kepada pendapatan suaminya, Sidek Abd Wahab, 46, yang tidak menentu sebagai tukang rumah.

"Dalam keadaan pandemik ini semakin membimbangkan, anak-anak terpaksa belajar secara maya.

"Ibu bapa yang ada dua anak pun kadangkala mengeluh nak sediakan kemudahan PdPR, inikan pula saya yang mempunyai lima anak dan tambahan pula kami bukan dalam kalangan orang yang senang" katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 5:21pm
d