mutakhir

Pesakit Covid-19 buat hal...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki yang mendakwa keluar ke kawasan umum selepas dirinya disahkan positif Covid-19 mencetuskan panik dalam kalangan komuniti.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh lelaki berkenaan yang memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya sebelum ia tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam hantaran itu, lelaki terbabit memaklumkan dirinya tidak dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat selepas tiga hari disahkan positif hasil ujian saringan dilakukan di sebuah klinik di Pandan Perdana, Ampang, Selangor, 20 Januari lalu.

Lelaki berkenaan memberitahu sepanjang tempoh tiga hari berkenaan, dia bebas keluar rumah termasuk membeli makanan dan membeli-belah sekali gus menyebarkan virus terbabit kepada orang ramai.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara terbabit.

"Laporan berhubung perkara itu diterima di Ampang dan siasatan lanjut berkaitan kejadian terbabit sedang dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 5:46pm
d