mutakhir

PKPD di Kompleks Penjara Bentong

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kompleks Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan di Pahang bermula esok sehingga 8 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 di Penjara Bentong.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 615 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

"KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa singkat dalam kalangan tahanan di penjara ini.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan bermula esok sehingga 8 Februari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabru berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terbabit untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 6:24pm
    d