mutakhir

Tak sempat kaya, markas laga ayam diserbu polis [METROTV]

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Gombak: Berpuluh `kaki sabung ayam' bertempiaran melarikan diri ke dalam paya sejurus markas rahsia kegiatan itu di kawasan ladang kelapa sawit di Kundang, Rawang di sini, diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata, dalam operasi jam 3.30 petang tadi, sepasukan 30 anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menyerbu sarang kegiatan judi itu.

Menurutnya, lokasi bangsal yang dijadikan pusat pertaruhan dan laga ayam itu terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, kaki judi itu bertindak melarikan diri ke kawasan belukar di bahagian belakang bangsal itu.

"Bagaimanapun lapan individu yang terbabit dalam perjudian laga ayam dan judi 'holo' berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata, salah seorang individu berusia 60-an yang diberkas dipercayai penganjur perjudian itu manakala selebihnya adalah individu yang datang untuk bertaruh.

"Hasil operasi ini, kami merampas tujuh telefon bimbit, sekeping papan untuk pertaruhan judi holo, wang tunai RM1,000, tiga dadu dan 29 ekor ayam jantan laga.

"Polis percaya kegiatan perjudian di kawasan ini dilakukan sejak sebulan lalu. Mereka bergiat aktif pada hujung minggu dan individu yang bertaruh membabitkan warga tempatan dan warga asing yang datang dari pelbagai daerah di Selangor," katanya.

Beliau berkata, semua individu dan barang rampasan itu dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2 )Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 44(10 ) Akta Binatang

1953 pindaan 2013, Akta Imigresen 1963 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 dan Seksyen 296 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 6:49pm
d