mutakhir

Covid-19: 9 kluster baharu dikesan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sembilan kluster baharu iaitu lapan daripadanya membabitkan kluster yang dikesan di tempat kerja dan satu kluster pusat tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama adalah Kluster Jalan Sebelas dilaporkan di daerah Hulu Langat, Selangor.

"Kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 24 Januari lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang membabitkan pekerja kilang di Seri Kembangan. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kilang yang terletak di Jalan KPB 11A, Balakong.

"Sehingga hari ini, sejumlah 715 individu disaring, yang mana 83 kes positif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster kedua iaitu Kluster Bukit Emas membabitkan daerah Seremban, Rembau dan Jempol di Negeri Sembilan.

Menurutnya, kes indeks (kes ke-154,224) dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Januari hasil saringan individu bergejala dan setakat ini sebanyak 46 kes positif.

Katanya, KKM turut mengenal pasti dua kluster tapak binaan iaitu Kluster Tapak Bina Sri Petaling di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan Kluster Tapak Bina Flora di Putrajaya.

"Kes bagi kedua-dua kluster itu dilaporkan pada 24 Januari lalu hasil saringan bersasar pekerja tapak binaan. Setakat ini dua kluster berkenaan masing-masing merekodkan 44 kes dan 13 kes positif.

"Kluster Tembok Taiping pula membabitkan sebuah pusat tahanan di Taiping, Perak. Kes indeks (kes ke-161,008) dilaporkan positif Covid-19 pada 18 Januari hasil saringan individu bergejala dan setakat ini ada 42 kes positif dilaporkan," katanya.

Selain itu, katanya, dua kluster dilaporkan di Lahad Datu, Sabah iaitu Kluster Ladang Segama dari sebuah ladang di Mukim Segama (22 kes) dan Kluster Jalan Segama dari lokaliti tempat kerja (20 kes).

Katanya, dua lagi kluster dikesan di kilang iaitu Kluster Keluli Tujuh yang merekodkan 21 kes positif Covid-19 hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.

"Kluster Jalan Tengar pula merekodkan lapan kes positif Covid-19hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Tengar, Pasir Gudang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 7:36pm
    d