mutakhir

Jepun sumbang AS$300 juta bantu dunia perangi Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jepun menyumbang AS$300 juta untuk pembangunan dan pengagihan vaksin Covid-19 bagi membantu dunia mendepani penularan pandemik itu, kata Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Komitmen kewangan untuk lima tahun bermula tahun ini tersebut merangkumi AS$170 juta (AS$1=RM4.04) bagi pembangunan vaksin dan baki AS$130 juta lagi untuk pengagihan dan pembekalan vaksin.

Penyelidikan dan pembangunan vaksin dilakukan melalui kerjasama antarabangsa, melibatkan syarikat farmaseutikal dan universiti, dengan pembiayaan digunakan untuk menyokong pelbagai pembangunan inisiatif dan penyelidikan vaksin, katanya kepada Bernama dan pewarta media Jepun berpangkalan di sini di Kedutaan Jepun, Jumaat lalu.

Selain itu, Jepun juga menyokong penuh cadangan ASEAN untuk menubuhkan Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baru Muncul dengan sumbangan berjumlah AS$50 juta.

"Kerajaan Jepun akan terus memberi sokongan kepada pusat itu selain pembiayaan AS$50 juta, sokongan juga diberikan melalui penyediaan pakar dan latihan oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) agar pusat tersebut boleh menjadi pusat kawalan penyakit berjangkit di ASEAN," kata Oka.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian Pertukaran Nota di antara beliau dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi membolehkan penyediaan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM19 juta daripada kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk membantu negara ini memerangi pandemik itu.

"Kami benar-benar berharap kerjasama geran ini akan dapat membantu kerajaan Malaysia memerangi penularan pandemik Covid-19, khususnya dalam diagnosis serta memberikan rawatan kepada rakyat Malaysia, dan peralatan perubatan itu akan dimanfaatkan dalam masa terdekat," kata Oka.

Majlis pemeteraian itu diadakan secara maya.

Duta itu berkata, di samping bantuan terkini tersebut, kerajaan Jepun juga menyumbang AS$2 juta menerusi pertubuhan antarabangsa seperti Persekutuan Antarabangsa Palang Sabit Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) serta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, bertujuan meringankan beban yang ditanggung golongan kurang bernasib baik di Malaysia dengan menyediakan makanan, peralatan perlindungan diri (PPE), kenderaan perubatan serta peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi pendidikan dalam talian.

Dalam ucapan terima kasih kepada Jepun atas bantuan itu, Dr Adham berkata, sumbangan berkenaan akan mempertingkat kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas fasiliti kementerian dalam usaha merawat dan menyelamat nyawa ketika penularan pandemik tersebut.

Beliau berkata, kementerian juga sedang memuktamadkan dan bakal memeterai memorandum kerjasama di antara Malaysia dan Jepun dalam bidang penjagaan kesihatan yang akan memberikan impak besar kepada pembangunan kesihatan dan sosial rakyat di kedua-dua negara.

Mengenai vaksinasi Covid-19 yang dijangka dilaksanakan bermula Mac, Dr Adham berkata, program itu akan dibuat dalam tiga fasa - fasa pertama untuk barisan hadapan, diikuti rakyat dengan risiko kesihatan yang tinggi dan berpenyakit kronik serta warga berusia 60 tahun ke atas, dan fasa ketiga untuk masyarakat umum serta individu berusia 18 tahun ke atas.

"Kami juga berharap rakyat Malaysia di Jepun akan dimasukkan dalam program vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan di sana. Jangan bimbang, kami juga akan memberi layanan serupa kepada rakyat Jepun yang tinggal di negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 7:52pm
    d