mutakhir

Ini baru betul-betul 'gila' Coke

Oleh BERNAMA

Seremban: Bermula sekadar hobi dengan menjadikan barangan jenama Coca-Cola atau Coke sebagai koleksi peribadi, Ridzwan Darus, 53, kini berbangga apabila menjadi antara pemilik koleksi kepada barangan jenama minuman itu, yang sudah lebih seabad bertapak di pasaran dunia.

Bapa dua anak lelaki itu berkata, dia mula mengumpul barangan berkenaan sejak remaja untuk tujuan suka-suka dan hobi, namun lama-kelamaan mula 'jatuh cinta' terhadap barangan jenama itu sejak 20 tahun lalu.

"Kebanyakan barangan ini saya beli dalam talian daripada pengumpulnya juga, bazar lambak dan individu di seluruh negara, kadang-kadang ada rakan yang tahu saya memang pengumpul jenama ini, mereka akan tolong beli untuk saya. Malah, ada barang dibeli dari luar negara," katanya.

Menurutnya, ada terdapat lebih 300 koleksi barangan jenama Coca-Cola yang disimpan di rumahnya di Taman Panchor Jaya di sini, termasuk tin dan botol, basikal, bingkai gambar, kasut, baju-T, topi serta telefon.

Malah, menyedari ada antara barangan itu sudah lama dihentikan keluarannya dan bakal menjadi bahan 'sejarah' serta buruan penggemar jenama Coke, Ridzwan menyediakan satu ruang khas di rumahnya serta menyusun semua barangan berkenaan dengan kemas untuk tatapan.

"Setiap barangan ini ada yang cecah RM500 untuk satu barang dan antara koleksi paling lama disimpan adalah botol Coke keluaran tahun 1980. Saya tak rasa ia satu pembaziran, kerana ia ada kepuasan dan nilai sentimental kepada saya," katanya.

Malah, anak jati Bentong, Pahang ini berkata, minat itu diperturunkan kepada anaknya, Mohamad Aidil Fakhri Ridzwan, 21, yang turut mempunyai hobi mengumpul barangan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Ridzwan berkata, dia menjadikan rutin setiap bulan untuk mengelap kotoran dan habuk pada koleksinya, malah beliau tidak sekali pun berasa terbeban malah berasa gembira apabila melihat barangan berkenaan sentiasa bersih serta nampak baharu.

Jelas Ridzwan yang turut memiliki kemahiran pertukangan membaik pulih pelbagai barangan antik itu, kebanyakan susun atur koleksi itu adalah melalui ideanya dan isteri Fouziah Mahamad Hamli, 51, selain turut merujuk majalah.

Beliau yang juga pekerja di syarikat swasta itu berkata, mereka yang berkunjung ke rumahnya pasti melahirkan kekaguman melihat koleksi dimiliki dan ada antaranya teruja, kerana banyak koleksi berkenaan mengimbau kenangan zaman kanak-kanak mereka.

Selain barangan jenama itu, Ridzwan turut menjadikan barangan berjenama Milo sebagai koleksi peribadi serta lebih ratusan barangan lama dan terpakai.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 9:20pm
d