mutakhir

4 tekong darat, 10 PATI ditahan

Oleh Melvin Joni

Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menggagalkan cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini.

Kesemua empat lelaki yang menjadi tekong darat itu berusia antara 30 hingga 50-an ditahan menerusi Op Benteng Covid-19 secara berasingan pada kelmarin dan semalam.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, tiga daripada suspek ditahan pada 11.40 malam tadi selepas dikesan membawa lima PATI warga Indonesia.

"Pasukan Unit Risik PGA Briged Sarawak mengekori dua buah kenderaan yang disyaki membawa PATI dari Jalan Kampung Tebekang sehingga ke Jalan Serian-Kuching dan simpang ke Pasar Baki Jalan Lama.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit kemudiannya menahan tiga lelaki tempatan dan lima PATI kerana tiada mempunyai dokumen yang sah memasuki Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi turut merampas dua buah kenderaan yang digunakan untuk membawa PATI terbabit, lima telefon bimbit serta wang tunai sebanyak RM5,780.

Katanya, semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Sementara itu, Mancha berkata, seorang lagi tekong darat berusia 39 tahun ditahan di kawasan parkir kenderaan di bawah Jambatan Sadong, Jalan Serian-Sri Aman pada 9.40 malam kelmarin.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menahan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki Indonesia.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua PATI itu tidak memiliki permit kerja yang sah dan didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh," katanya.

Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas Toyota Hilux yang digunakan oleh suspek untuk menjalankan kegiatan berkenaan, dan semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada IPD Serian.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 10:23am
d