mutakhir

Agih 198 tan bantuan kepada mangsa banjir

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengagihkan sebanyak 198 tan bantuan termasuk makanan dan bahan mentah kepada mangsa banjir di 664 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.

Bantuan turut diterima daripada 118 pangkalan hadapan di semua daerah yang sebelum ini disediakan JKM Daerah sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, bantuan disediakan JKM membabitkan barangan termasuk makanan serta bahan mentah bagi penyediaan hidangan mangsa banjir di PPS.

Beliau berkata, bantuan barangan asas seperti toto, tilam, selimut, tikar dan kit bencana diberikan kepada setiap ketua keluarga yang berdaftar dan berada di PPS.

"Turut disediakan makanan kering serta basah yang dibekalkan secara berperingkat.

"Bencana banjir kali ini menyebabkan banyak jalan utama tidak boleh dilalui, justeru JKM terpaksa mendapatkan bantuan helikopter dan kenderaan berat disediakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah-Daerah (PKOB) dapat melancarkan lagi aktiviti penghantaran barangan bantuan ke seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata, di kawasan luar bandar, pihaknya menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta bot disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, kerjasama masyarakat setempat dan mangsa banjir yang membantu memindahkan barangan bantuan menggunakan bot gentian kaca turut melancarkan aktiviti berkenaan.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 11:21am
d