mutakhir

2,921 laman sesawang pornografi disekat

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sejak 2018 hingga tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat 2,921 laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi bagi melindungi pengguna maya di negara ini.

Menurut MCMC, tindakan menyekat akses laman pornografi itu masih dijalankan secara proaktif dan berterusan dalam usaha membanteras gejala berkenaan.

"Tindakan undang-undang juga diambil terhadap pemberian atau penyebaran kandungan berunsur lucah di platfom media sosial.

"Ia menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Undang-undang relevan yang lain juga akan terpakai mengikut fakta kes yang disiasat dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada Harian Metro.

MCMC mengulas pendedahan akhbar ini berkaitan tiga hingga empat daripada setiap 10 rakyat Malaysia melayari laman bahan lucah dalam tempoh seminggu selain data dikeluarkan laman pornografi terkenal dunia yang menunjukkan Malaysia berada di kedudukan keempat negara teratas di dunia selepas Slovakia, Bulgaria dan Ireland serta pertama di Asia yang melakukan carian bahan atau video lucah.

Mengulas lanjut katanya, MCMC juga sentiasa menjalankan usaha bersama dalam menangani kewujudan kandungan yang menyalahi undang-undang negara seperti kandungan lucah.

"Ini termasuk pendekatan advokasi dan kawalan kendiri di mana MCMC menganjurkan program advokasi atau kesedaran di seluruh negara sepanjang masa baik melalui aset digital, terbitan akhbar, paparan di saluran televisyen, webinar, kerjasama dengan badan sukarela, agensi kerajaan selain aktiviti bersepadu seperti seminar dan sebagainya.

"Selain itu, pendekatan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dalam usaha memupuk penggunaan Internet berhemah dan bijaksana dengan fokus kepada tiga aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang

menitikberatkan kawalan kendiri bagi melindungi diri sendiri daripada paparan kandungan berbentuk negatif," katanya.

Menurutnya, kerjasama pengguna juga amat digalakkan untuk membuat aduan atau memberikan maklumat penting kepada pihak berkuasa jika ternampak kandungan lucah atau kurang sesuai dalam media sosial.

Sebarang aduan berkaitan kandungan lucah di Internet, orang awam boleh salurkan melalui emel di aduanskmm@mcmc.gov.my, WhatsApp di talian 016-220 6262 atau portal aduan pada pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 1:27pm
d