mutakhir

Empat lelaki provokasi anggota polis diarah buat kerja sosial [METROTV]

Oleh Audrey Dermawan

Georgetown: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhi hukuman kerja sosial selama dua bulan terhadap empat lelaki yang mengaku salah atas dakwaan melakukan provokasi terhadap anggota polis di Tanjung Tokong pada 17 Januari lalu.

Majistret R Manomani mengarahkan hukuman itu dijalankan tiga jam sehari terhadap tertuduh iaitu Shahrizal Anuar, 38, Mohd Hafiz Nasri Shah, 28, Mohd Safwan Akbar, 29, dan Mohd Danial Al Arabia Mohd Rafi, 24.

Manomani kemudian bertanya sama ada tertuduh bersetuju melakukan kerja sosial seperti mencuci dan mengecat masjid, tanah perkuburan serta rumah kebajikan di kawasan kejiranan mereka.

Kesemua tertuduh bersetuju dengan hukuman berkenaan sebelum mahkamah memaklumkan perkara itu akan ditentukan oleh pegawai parol.

"Jika (tertuduh) gagal melakukan kerja sosial seperti diarahkan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap dan hukuman itu akan digantikan dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pada Jumaat lalu, Shahrizal dan Mohd Safwan mengaku salah terhadap dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Tokong, di sini, pada 5.40 petang 17 Januari lalu.

Manakala, Mohd Hafiz dan Mohd Danial memohon dibicarakan.

Bagaimanapun, pada sebutan hari ini Mohd Hafiz dan Mohd Danial menukar pengakuan mereka kepada bersalah.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid, manakala peguam Nur Najihah Ahmad Zulkarnain mewakili keempat-empat tertuduh.

Nur Najihah dalam rayuannya memohon anak guamnya dijatuhi hukuman minimum kerana menyesal dengan perbuatan mereka dalam kejadian itu.

"Tertuduh pertama juga membuat hantaran di akaun media sosialnya bagi memohon maaf terhadap pihak polis terhadap apa yang berlaku. Kejadian berlaku akibat salah faham," katanya.

Bagaimanapun, Rais Imran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada mereka selain orang ramai pada masa depan.

Sementara itu, keempat-empat tertuduh bersama tiga individu lain iaitu Azizul Mohamad, 45, Mohd Idris Ayob, 25 dan Danish Ikmal Mohd Syafiq Samugam, 20, didenda RM700 atau tiga minggu penjara oleh mahkamah sama kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan waktu yang sama.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Portal Harian Metro sebelum itu melaporkan gambar dan video tular di media sosial mengenai dua lelaki parah akibat terjatuh daripada motosikal selepas didakwa ditendang dua anggota polis.

Menerusi video berkenaan, orang ramai tidak berpuas hati dan melakukan provokasi terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dikatakan menendang motosikal mangsa.

Namun, laporan polis oleh pemandu kereta, mendapati dua lelaki terbabit yang tidak memakai topi keledar melarikan diri daripada polis dan melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit dalam kemalangan dengan kenderaannya.

Seorang daripada penunggang motosikal terbabit juga mengakui tidak berlaku insiden mereka ditendang anggota polis berkenaan.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 3:39pm
d