mutakhir

Belum ada petunjuk nelayan tempatan yang hilang

Oleh Amir Mamat

Melaka: Pihak berkuasa maritim Malaysia dan Indonesia masih belum mempunyai petunjuk lokasi seorang lagi nelayan tempatan yang hilang ketika keluar menjaring ikan di perairan Pulau Undan, di sini sejak 13 Januari lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah, berkata menerusi rondaan dijalankan pihaknya, tiada sebarang objek ditemukan termasuk di sempadan perairan antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga kerap berhubung dengan beberapa pihak keselamatan maritim Indonesia iaitu Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) dan Polisi Republik Indonesia (POLRI) yang turut memaklumkan tiada menemui sebarang petunjuk.

"Masih tiada petunjuk dan penemuan untuk seorang lagi mangsa. Kita selalu juga berhubung dengan pihak BASARNAS, BAKAMLA dan POLRI dan mereka bersedia memaklumkan kepada kami jika ada apa-apa penemuan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Rabu minggu lalu, mayat lelaki lengkap berpakaian ditemui terdampar oleh penduduk di pesisir pantai sebuah kampung di Pulau Rupat, Indonesia, dipercayai rakyat Malaysia kira-kira jam 7 pagi.

Mayat berbaju kemeja-t merah dan berseluar jeans pendek itu, ditemui oleh penduduk Teluk Lecah di pulau berkenaan, dipercayai seorang daripada dua nelayan yang hilang ketika keluar menjaring ikan di perairan Pulau Undan, Melaka Tengah pada Rabu dua minggu lalu.

Menerusi portal berita m.riau24.com, pihak berkuasa Bengkalis, Indonesia mengesahkan mayat berkenaan adalah rakyat Malaysia berdasarkan penemuan beberapa kad identiti mangsa termasuk lesen memandu dengan tertera nama Ahmad Norizan Mohamad.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari isterinya, Faradila Sharudin selepas keluar menangkap ikan bersama rakannya, Irwan Radjab di perairan Pulan Undan sejak 13 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata pihaknya masih menunggu perkembangan siasatan termasuk laporan bedah siasat daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung penemuan satu mayat lelaki di Kampung Teluk Lecah, Pulau Rupat, Rabu minggu lalu.

"Setakat ini kita menunggu laporan daripada pihak polis Indonesia sama ada siasatan dijalankan itu sudah selesai atau sebaliknya.

"Jika sudah selesai, siasatan akan disambung di peringkat kita pula. Kita tunggu perkembangan yang akan dilaporkan oleh pihak berkuasa Indonesia itu," katanya.

Berita berkaitan

  • APMM mohon bantuan Indonesia kesan nelayan hilang
  • Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 4:04pm
    d