mutakhir

Pelawa mangsa ke rumah sebelum samun

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Seorang warga asing disamun lelaki yang berpura-pura mahu memberikan kotak kepada mangsa dalam kejadian di Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, polis menerima panggilan kejadian daripada orang awam pada 4.34 petang.

"Mangsa mendakwa sedang mencari kotak di Jalan Pandan Indah sebelum didatangi lelaki berusia 32 tahun memberitahu rumahnya terdapat banyak kotak.

"Mangsa mengekori suspek ke rumahnya. Ketika memasuki pagar, suspek mengacukan pisau dan menyamun beg mangsa yang mengandungi wang tunai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, bertindak atas laporan itu sepasukan polis segera ke lokasi dan menahan suspek di rumah berkenaan.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM53, sebilah pisau, baju dan seluar yang digunakan suspek ketika kejadian.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, curi, ugutan jenayah, mencederakan orang dan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

"Keprihatinan orang awam membantu menyelesaikan kes samun dan jika setiap orang menerapkan sikap prihatin ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penyelesaian kes jenayah," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 4:10pm
d