mutakhir

Kantoi edar syabu, heroin dalam lori sejuk beku [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Taktik dua lelaki menggunakan surat kebenaran rentas negeri untuk menghantar bekalan ayam sejuk beku gagal apabila ditahan kerana disyaki mengedar syabu dan heroin bernilai RM152,792 di Genting Highlands, Bentong pada 20 Januari lalu.

Dua suspek berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Bentong ketika Ops Tapis di Pondok Pengawal Polis Bantuan Genting Highlands pada 8.35 pagi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan laporan, lori membawa bekalan ayam sejuk beku itu ditahan ketika pemeriksaan walaupun mempunyai surat majikan.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 2,095.63 gram (g) dan 4,592.26g heroin yang disimpan di bahagian belakang lori terbabit.

"Ujian saringan mendapati suspek berumur 39 tahun positif dadah manakala suspek berumur 35 tahun pula mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah.

"Kedua-dua suspek bekerja sebagai pemandu lori dari Lembah Klang itu ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 21 Januari lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyita sebuah kereta Perodua Myvi dianggarkan bernilai RM30,000 di sebuah rumah di Lembah Klang.

Katanya, nilai keseluruhan dadah dan kereta dirampas ialah RM182,792.

"Siasatan mendapati sindiket ini bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar Bentong dan Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

"Hasil tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan dan rampasan dadah ini boleh dibekalkan kepada 13,378 penagih," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 4:38pm
d