mutakhir

Sindiket 'transit' dadah ke Melaka tumpas

Oleh Amir Mamat

Melaka: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan negeri ini sebagai 'transit' mereka tumpas selepas polis tahan enam lelaki di sekitar Melaka Tengah, minggu lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, penahanan empat rakyat tempatan dan dua warga Indonesia itu membawa kepada penemuan dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM2.08 juta dalam beberapa serbuan.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka bersama JSJN Bukit Aman pada Khamis lalu, menahan kesemua suspek berusia antara 32 hingga 49 tahun menerusi empat serbuan berasingan dalam tempoh 24 jam.

"Petunjuk awal kepada penemuan sindiket dadah berkenaan bermula apabila sepasukan anggota yang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Batang Tiga, Khamis lalu terlihat seorang lelaki sedang memindahkan barang ke dalam sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz.

"Ketika menghampiri kereta berkenaan, lelaki terbabit terus masuk ke sebuah lagi kereta yang parkir berhampiran dan memecut laju meninggalkan lokasi," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kereta Mercedes Benz terbabit ditemukan dua guni masing-masing mengandungi 24 dan 12 paket plastik teh herba yang setiap satunya mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis turut menemui satu lagi beg berisi tujuh plastik warna hijau dan putih mengandungi dadah jenis yang sama dengan jumlah keseluruhan seberat 33.04 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM1.24 juta.

"Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah pangsapuri di Klebang di sini, pada Jumaat lalu sebelum menemui 21.38 kg dadah jenis sama yang dianggarkan bernilai RM840,000.

"Ia diikuti dengan penahanan seorang lagi suspek berusia 47 tahun di sebuah kondominium di kawasan itu serta dua lagi suspek berusia 35 dan 39 tahun di sebuah hotel di Ujong Pasir di sini, pada hari yang sama.

"Serbuan seterusnya di sebuah lagi kondominium di Cheng di sini, berjaya menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia masing-masing berusia 49 dan 41 tahun," katanya.

Hasil serbuan terbabit, katanya, polis turut menyita beberapa kenderaan termasuk empat kereta, dua motosikal dan sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk merentas sempadan bagi aktiviti pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan RM179,000.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 4:44pm
d