mutakhir

Netizen, jangan buat spekulasi - Polis

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis mahu orang ramai menghentikan komen berbentuk 'andaian' berkaitan kebakaran bilik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kebakaran berkenaan memusnahkan beberapa fail pentadbiran, peralatan fotografi dan elektrik seperti komputer serta pendingin hawa.

Katanya, kebakaran bilik Unit Pentadbiran dan Jurugambar itu tidak membabitkan kemusnahan dokumen penting penyiasatan termasuk barang kes.

"Ia juga tidak menjejaskan sama ada kes masih dalam siasatan atau kes yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

"Isi kandungan dokumen yang musnah dalam kebakaran itu sudah dimuat naik dalam sistem maklumat PDRM sebelum ini," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Menurut Soffian, berita mengenai kebakaran itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet termasuk komen negatif.

Katanya, ia termasuk membuat andaian kononnya insiden berkenaan disengajakan bagi tujuan penghapusan bahan bukti supaya pesalah terlepas daripada pendakwaan atau hukuman.

"Komen berbentuk andaian berkaitan insiden kebakaran itu boleh menimbulkan persepsi tidak sihat di kalangan masyarakat umum," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan kebakaran pada 7.55 pagi itu mengakibatkan 40 peratus bilik yang terletak di tingkat empat IPD Timur Laut mengalami kerosakan.

Berita berkaitan

Bilik siasatan jenayah narkotik terbakar [METROTV]

Tunggu laporan bomba

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 6:42pm
d