mutakhir

Tidak sembunyikan data - Dr Noor Hisham

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Data jumlah kes jangkitan Covid-19 yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap hari adalah sah berdasarkan situasi semasa yang diperoleh daripada sumber sahih dan tepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada gunanya semua pihak bertelagah atau mencurigai sebaliknya perlu bersatu hati dalam memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

"Sudah setahun, kita bukan saja berlawan dengan virus tetapi juga viral (tular) di media sosial. Jadi penting semua pihak termasuk media menyampaikan mesej yang betul dan jangan cipta kebimbangan dan mengelirukan.

"Sebab itu, dari hari pertama lagi kami tidak menyembunyikan apa-apa. Data di situ, kamu lihat semuanya di sidang media dan sebagainya.

"Jika kami ada data, kami kongsikan, jadi tidak timbul isu kami menyembunyikan data," katanya selepas taklimat media berkaitan darurat Covid-19 menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Kebelakangan ini, tular di media sosial dakwaan menuduh KKM menyembunyikan fakta sebenar angka positif Covid-19 yang lebih ramai daripada apa yang diumumkan.

Dalam pada itu beliau berkata, KKM sentiasa menambah baik dan meningkatkan motivasi petugas barisan hadapan dan rakyat dalam memerangani pandemik ini.

"Memang betul ada petugas kesihatan atau rakyat terkesan dengan Covid-19. Tentu ada kelesuan mental dan fizikal.

"Jadi apa yang kita buat ialah selalu tingkatkan semangat menerusi kaunseling terutama petugas kesihatan supaya mereka faham kita tidak boleh ambil mudah dan leka sebaliknya terus berperang.

"Jika dulu peningkatan kes dalam kalangan warga asing, tetapi sekarang lebih 63 peratus jangkitan dalam komuniti. Bukan saja kluster tetapi sporadik pun ada jadi jangkitan mungkin berlaku," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 8:36pm
d