mutakhir

MAQIS rampas 61,932 kg ayam sejuk beku dari Thailand

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Cubaan membawa masuk 5,161 keratan ayam sejuk beku seberat 61,932 kilogram (kg) bernilai RM495,608 dari Thailand digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), kelmarin.

Kesemua ayam sejuk beku itu dirampas dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS) pada 4 petang.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, daging ayam sejuk beku itu dibawa masuk itu tanpa mematuhi syarat import iaitu dipercayai datangnya dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan.

Beliau berkata, kegagalan untuk mengemukakan maklumat berkenaan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak MAQIS tidak akan leka serta memandang mudah terhadap perkara ini dan akan terus komited dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikro-organisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar.

"Ia bagi tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 9:13am
d