mutakhir

Laluan kontra antara Plaza Tol Sungai Besi-UPM

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Laluan kontra diaktifkan di Kilometer 307 hingga 309 di antara Plaza Tol Sungai Besi dan persimpangan UPM di Lebuhraya Utara-Selatan, mulai semalam sehingga 2 Februari ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan laluan itu diaktifkan pada 10 malam sehingga 5 pagi, manakala penutupan jalan akan dilaksana secara berperingkat dengan hanya satu penutupan akan dilakukan pada satu-satu masa.

"Laluan itu diaktifkan bagi membolehkan kerja-kerja pelancaran jejambat pejalan kaki dan kerja berkaitan dilaksanakan kontraktor projek MRT yang dilantik," menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya yang menghala ke Seremban atau Kuala Lumpur dinasihatkan merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 1:00pm
d