mutakhir

Dulu pemuzik, kini tukang paip

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sejak lima tahun lalu, rutin hariannya hanyalah berkisar kepada persembahan di jalanan untuk menghiburkan orang ramai.

Berbekalkan bakat seni yang ada, menjadi pemuzik jalanan atau busker adalah satu-satunya mata pencarian untuk menyara keluarga tercinta.

Namun, penularan Covid-19 mengubah hidup Ammar Redza Abdul Quddus, 26, yang hilang punca pendapatan dan terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi tukang paip.

Walaupun tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai tukang rumah sebelum ini, dia nekad mengambil upah untuk membaiki paip dan tangki di rumah seorang rakan kerana mencari duit belanja.

Dikenali dengan nama Ammar Az, dia mengambil risiko itu kerana ingin mencari wang untuk belanja harian dan mujur rakannya itu berpuas hati dengan kerja dilakukan.

"Saya memang tak pernah jadi tukang apa pun sebelum ini. Saya hanya fikir secara kreatif dan baiki paip.

"Alhamdulillah, dapatlah bayaran sedikit. Saya pun tak sangka dapat buat kerja begitu kerana sebelum ini memang saya cari duit dengan bermain muzik di jalanan," katanya kepada Harian Metro.

Ammar berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu, dia dan rakan lain tidak dapat mengadakan persembahan dan itu menjadikan dia tidak mempunyai pendapatan langsung.

Katanya, dia terpaksa menjual beberapa peralatan muzik seperti bass, efek gitar, komputer riba dan amplifier bass untuk mendapatkan duit.

"Memang tak boleh buat apa. Terduduk terus. Sebelum ini ada sekitar RM4,000, tapi sejak PKP, langsung tak ada.

"Kawan-kawan lain juga begitu. Saya ada bantu sikit-sikit kerana tahu mereka lagi susah.

"Sekarang saya banyak buat persembahan secara strim langsung menerusi Instagram saya @azz.muzik, Facebook dan Mico Live," katanya yang sebelum ini pernah membuat persembahan di London pada 2019.

Ammar mengharapkan agar kerajaan dapat menyediakan platform dalam talian kepada pemuzik jalanan untuk membantu mereka menjana semula pendapatan yang terjejas teruk.

Menurutnya, mereka perlukan sokongan dalam bentuk dan platform untuk berkarya, mencari pendapatan dan menghiburkan orang ramai.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 2:53pm
d