mutakhir

Semoga usaha cikgu dipermudahkan

Oleh Hadzlan Hassan

Shah Alam: Seorang guru di sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Kebun, dekat sini, sanggup berkorban masa dan tenaga menjejak keluarga muridnya yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Guru yang tidak mahu dikenali itu berkata, setiap bulan pada hari gaji, dia akan mendapatkan barangan keperluan harian untuk dihantar kepada keluarga murid yang dikenal pasti.

Ketika ditemui di Kohijrah Mart, dekat sini semalam, guru Bahasa Melayu itu berkata, dia turut mendapat kerjasama rakan guru lain yang turut menyumbang bagi merealisasikan perkara itu. "Sebenarnya saya melakukan usaha ini sejak awal PKP dulu lagi dan ia diteruskan hingga PKP 2.0 ini.

"Inisiatif ini diambil selepas saya mendapat tahu ada murid yang terpaksa keluar rumah membantu keluarga mencari rezeki di musim PKP menyebabkan saya tersentuh hati," katanya.

Menurutnya, walaupun bantuannya tidak seberapa namun dia berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga yang menghadapi tempoh sukar.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 3:40pm
d