mutakhir

Dapat tenaga 'luar biasa' selamatkan ibu

Oleh Hassan Omar

Melaka: Walaupun uzur akibat menghidap penyakit tiga serangkai namun seorang wanita tetap nekad menyelamatkan ibunya yang terperangkap dalam kebakaran.

Dalam kejadian jam 9.15 malam tadi, Mazitah Bedul, 54, bertindak memeluk tubuh ibunya, Fatimah Othman, 82, sebelum membawa wanita warga emas itu keluar dari rumah yang sedang dijilat api di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini.

Mazitah yang menghidap penyakit jantung koronari, darah tinggi dan diabetis memberitahu, kejadian berlaku ketika

dia sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan dari luar rumah.

Dia bagaimanapun terkejut sejurus melihat dapur rumah ibunya yang terletak berhampiran kediamannya sedang terbakar.

"Saya menghadapi masalah untuk berjalan. Namun apabila melihat api semakin marak, saya tiba-tiba boleh berlari masuk ke dalam rumah dan membawanya keluar.

"Pada masa sama abang, Zazali, 58, yang tinggal tidak jauh dari rumah kami, turut menyelamatkan dua cucu yang berada di dalam kediaman itu," katanya tadi.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, seramai 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menziarahi mangsa turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan.

Selain itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membantu mendapatkan rumah sewa untuk mangsa manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan makanan.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 5:24pm
d