mutakhir

Isu PdPR, ramai peniaga komputer cuba kaut untung

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Keperluan mendesak ibu bapa bagi memenuhi Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan elektronik dan komputer.

Ini terbukti apabila sebanyak 10 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga barangan sesuka hati.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, notis berkenaan dikeluarkan pada hari pertama Ops Catut 8.0 dikuatkuasakan hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan bermula 11 pagi di kiosk-kiosk pasar raya di seluruh negeri ini yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak dan telefon bimbit.

"Kami mendapati bekalan peralatan elektronik berkenaan merekodkan jualan tinggi terutama mesin pencetak dan komputer riba.

"Kebanyakan peniaga yang ditemui memaklumkan mereka terpaksa menunggu agak lama bagi mendapatkan pesanan daripada pembekal selain berlaku sedikit kenaikan harga berikutan kos barangan sudah meningkat.

"Justeru, sebanyak 10 notis dikeluarkan terhadap peniaga bagi membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut samada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak," katanya tadi.

Beliau berkata, peniaga berkenaan diberi tempoh masa dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan pihaknya.

Katanya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan sehingga 8 Februari bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pembelajaran secara atas talian bagi murid dan pelajar untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 6:59pm
d