mutakhir

Sambutan Thaipusam tidak dibenarkan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan bahawa sambutan Thaipusam pada tahun ini tidak dibenarkan dan semua penganut Hindu digalakkan melakukan upacara keagamaan di rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil maklum penganut agama Hindu akan menyambut perayaan Thaipusam pada 28 Januari ini.

Menurutnya, selepas meneliti semua aspek termasuk peningkatan kes harian yang masih tinggi serta mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan memutuskan bahawa Thaipusam pada tahun ini tidak dibenarkan dan digalakkan melakukan upacara di rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, hanya lima ahli jawatankuasa atau petugas dibenarkan hadir ke kuil-kuil untuk

menjalankan upacara keagamaan.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mempertimbangkan permohonan khas daripada pihak Pengurusan Kuil Sri Mariamman, Kuala Lumpur untuk membenarkan pergerakan membawa Arca Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jln Tun H S Lee ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat," katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pedati dibenarkan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar bermula 3 pagi pada 27 Januari.

"Perarakan penganut untuk mengiringi pedati membawa Arca Dewa Murugan adalah tidak dibenarkan dan hanya 10 orang saja boleh berada di dalam kenderaan membawa pedati termasuk pemandu dengan pengawasan ketat polis.

"Pedati tidak dibenarkan melakukan persinggahan sepanjang perjalanan menuju ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves," katanya.

Beliau berkata, pedati bergerak balik dari Kuil Sri Subramaniar menuju ke Kuil Sri Maha Mariamman bermula 3 pagi pada 29 Januari.

"Pihak pengurusan kuil dikehendaki menyelaras perjalanan pedati serta jalan yang akan dilalui bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Orang ramai tidak dibenarkan berada di pinggir jalan untuk menonton perarakan membawa pedati itu malah tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar SOP sepanjang upacara ini," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 7:16pm
d