mutakhir

MCCA gesa kerajaan perjelas tahap keselamatan siber

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Agensi berkaitan harus menjelaskan tahap kesiapsiagaan keselamatan siber negara terutamanya membabitkan rangkaian strategik susulan video ugutan daripada 'Anonymous Malaysia'.

Video ancaman daripada kumpulan berkenaan tular awal pagi tadi dan kumpulan itu menyatakan bahawa tahap kesiapsagaan siber di negara berada pada tahap rendah.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pengguna siber di negara ini perlu mendapatkan penjelasan supaya tidak merasa terancam daripada ugutan berkenaan terutamanya membabitkan data sensitif pengguna.

"Data pengguna di negara ini dilihat seolah tidak dijaga seperti kes berlakunya penjualan data oleh pihak penyedia telekomunikasi sendiri kepada sindiket dan insiden penggodaman sistem imigresen.

"Berdasarkan rekod, pihak Anonymous Malaysia ini pernah menyerang sistem kerajaan sebanyak dua kali iatu pada 2011 serta 2015 dan ugutan terbaru adalah yang ketiga.

"Apa yang saya lihat adalah mesej yang disampaikan jelas menunjukkan kelemahan kerajaan dalam melindungi data pengguna," katanya kepada Harian Metro, sebentar tadi.

Siraj berkata, terlalu banyak data penting pengguna dijaga oleh pihak kerajaan termasuk aplikasi baharu MySejahtera sekali gus mengundang 1001 persoalan berhubung tahap keselamatan siber.

Pada masa sama, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan mengurangkan risiko impak ancaman serangan siber.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan memaklumkan ia susulan ancaman oleh 'Anonymous Malaysia' untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video yang dikeluarkan di platform media sosial mereka pada Isnin.

Berkait dakwaan 'Anonymous Malaysia' kononnya keselamatan infrastruktur dan sistem siber negara di tahap rendah, MKN berkata kerajaan amat memandang berat berhubung perkara tersebut.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 8:51pm
d