mutakhir

Wanita mempunyai 24 rekod jenayah lampau ditahan

Oleh Omar Ahmad

Kulai: Tiga individu termasuk seorang wanita dengan 24 rekod jenayah lampau ditahan dalam dua serbuan berasingan sekitar Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, semua suspek tempatan berusia 29 hingga 33 tahun itu dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Jalan Selendang, Taman Mewah, di sini.

Katanya, polis menerima maklumat daripada pengadu yang mengatakan rumahnya dipecah masuk pada jam 12.50 tengah malam.

"Dalam kejadian itu, penjenayah melarikan jam tangan, tabung duit syiling, pengering rambut, radio serta dua motosikal jenis Modenas dan Kawasaki.

"Susulan itu, polis melancarkan gerakan dan berjaya memberkas tiga suspek berkenaan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada suspek terbabit dengan kes jenayah lain," katanya.

Beliau berkata, suspek wanita mempunyai 24 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua suspek lelaki mempunyai 15 rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 12:22am
d