mutakhir

40 'hadiah' pokok limau dirampas

Oleh Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang : Sebuah syarikat tempatan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa masuk 40 pokok limau dari China

tanpa dokumen sah oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di dalam kontena yang mengandungi pokok bunga kering, di sini Sabtu lalu.

Pengarah MAQIS negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, pokok limau yang dibawa masuk itu ditemui di bahagian belakang kontena terbabit di tapak pemeriksaan di Pelabuhan Barat, jam 11.30 pagi.

"Ketika pemeriksaan, pokok limau itu dikesan diletakkan bersama pokok bunga kering yang mempunyai permit yang sah bagi mengelirukan pegawai bertugas.

"Hasil pemeriksaan, pokok limau itu tiada permit import sah yang dikeluarkan MAQIS selain tiada sijil fitosanitasi dari negara asal serta dianggarkan bernilai RM680.

"Kesemua pokok limau berkenaan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang sudah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarmisal berkata, siasatan juga mendapati pokok limau itu dibawa masuk ke Malaysia adalah sebagai pemberian hadiah sempena sambutan Tahun Baharu Cina nanti.

"Penahanan keluaran pertanian ini bertujuan mengekang kemasukan serangga perosak kerana sekiranya ia terlepas, haiwan perosak itu boleh menyebabkan industri pertanian negara terjejas.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta sama.

"Pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

From: yue

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 8:34am
d