mutakhir

13 burung, 5 kura-kura eksotik dirampas

Oleh Erika George

Bintulu: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki 13 burung dan lima kura-kura eksotik tanpa kebenaran di sebuah kawasan persendirian miliknya di kawasan Batu 6, Jalan Bintulu-Miri, dekat sini, Selasa lalu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu Sarawak, Asisten Superintendan Ezuandi Bahadin berkata, pihaknya menerima maklumat dari orang awam sebelumnya bertindak menyerbu ke kawasan berkenaan sebelum bertindak menahan lelaki terbabit.

Beliau berkata, serbuan yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Bintulu yang turut disertai tujuh anggota Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada 1.45 tengah hari.

Mereka menemui lapan ekor burung jenis White Parakeets, seekor burung jenis Blue-and-Yellow Macaw (Ara ararauna), seekor Green Parrot, dan dua ekor Green-Wing-Macaws.

"Turut ditemui dalam kawasan berkenaan ialah lima kura-kura hutan yang mana seekor darinya adalah kura-kura darat jenis Baning yang diancam kepupusan," ujarya.

Menurutnya, kesemua haiwan dan reptilia eksotik ini dianggarkan bernilai RM130,400 yang mana kesemuanya dikurung dalam sangkar khas yang dibina memanjang dan dibahagikan kepada beberapa petak.

Beliau berkata, hasil semakan yang dijalankan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi menyimpan atau memilik hidupan liar terbabit dari pihak berwajib.

Katanya, lelaki terbabit yang juga pemilik kawasan simpanan hidupan liar itu akan ditahan disiasat di bawah Seksyen 48 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana tidak memiliki lesen atau permit bagi memiliki haiwan terbabit.

"Laporan polis sudah dibuat berhubung penangkapan ini sebelum siasatan diserahkan ke pegawai penyiasat SFC Bintulu untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 8:45am
d